KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menerima tiga helikopter baharu jenis AgustaWestland AW139 bagi meningkatkan tahap pengoperasian pasukan berkenaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perolehan aset itu dijangka akan diterima pada tahun depan namun pihaknya berharap ia dapat diterima lebih awal.
Beliau berkata, ia menunjukkan komitmen kerajaan dan pasukan JBPM yang teguh dalam pelaksanaan penugasan operasi jabatan sekali gus bagi memperhebatkan misi penyelamatan terutama di kawasan pedalaman dan mengalami kesukaran akses jalan.
“Kita harap (helikopter) boleh dapat tahun ini juga tetapi ia bergantung kepada ‘manufacture’ (pihak pembuatan)… perlu ikut jadual tapi kita akan beri keutamaan kepada bomba,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2025, di sini, hari ini.
Katanya, pemilihan model AgustaWestland AW139 berdasarkan kepada keupayaan dan kecekapan helikopter berkenaan.
Selain itu, Kor Ming berkata, kerugian harta benda yang musnah di seluruh negara akibat kebakaran berkurangan kepada RM1.56 billon pada tahun lalu, daripada RM2.63 billion pada 2023.
Beliau berkata, statistik JBPM menunjukkan daripada jumlah itu, sebanyak 41,149 panggilan kes kebakaran telah diterima dan diambil tindakan sepanjang tahun lalu.
“Sementara itu, kematian kes disebabkan mati lemas juga berkurangan kepada 277 kes tahun lalu berbanding 325 tahun 2023. Ini bermaksud strategi kita kini berkesan. Kita perlu memperhebatkan lagi usaha untuk memastikan kes-kes demikian dapat dikurangkan.
“Semasa Tahun Baru Cina tahun lalu, lebih 2204 kebakaran dilaporkan sepanjang musim perayaan. Kita memerlukan kerjasama mereka yang mahu balik kampung sebelum pulang ke kampung halaman mengambil langkah pencegahan termasuk menutup suis di rumah, periksa rumah dan sistem pendawaian elektrik tidak terdedah kepada risiko yang mungkin mengundang kecelakaan,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata, sebanyak 70 peratus keanggotaan pasukan bomba dibekukan cuti bagi menghadapi sebarang insiden sepanjang perayaan Tahun Baru Cina dan Monsun Timur Laut.
“Kira-kira 10,000 hingga 12,000 anggota akan bersiap sedia. Hanya 30 peratus daripada keanggotaan pegawai bomba diberikan pelepasan untuk bercuti secara penggiliran. Ia bagi memastikan kekuatan keanggotaan mencukupi bagi menghadapi sebarang insiden sepanjang tempoh itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad mengingatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa peka dan berwaspada akan risiko kebakaran dan ambil langkah berjaga-jaga dalam apa jua aktiviti yang dilakukan supaya tidak berlaku insiden yang tak diingini.
“Daripada aspek penguatkuasaan undang-undang, pada tahun ini JBPM terus komited melaksanakan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK).
“Tahun lalu, sebanyak 19,611 pemeriksaan dibuat iaitu 15 peratus (2,611 pemeriksaan) melebihi sasaran 17,000 yang ditetapkan. Bagi tahun ini, JBPM mensasarkan sebanyak 18,000 pemeriksaan akan dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Katanya lagi, surat arahan sudah dikeluarkan kepada semua JBPM negeri untuk menggerakkan pasukan petugas khas bagi melaksanakan pemeriksaan MBK secara bersasar kepada premis, tempat perhimpunan dan pusat beli belah yang menjadi tumpuan orang ramai bermula dari 13 Januari sehingga 6 Februari ini.-BH Online