Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di sini, mampu menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi keselamatan serantau dan global.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dengan penyertaan 300 syarikat daripada 48 negara yang akan mempamerkan pelbagai teknologi keselamatan terkini, AISSE’25 adalah inisiatif strategik untuk memperkukuh kedudukan negara dalam aspek keselamatan melalui perkongsian idea, teknologi dan kerjasama.

Beliau berkata, pada acara julung kali diadakan itu sebanyak 36 bengkel membincangkan isu keselamatan global oleh pakar dan pemimpin dari pelbagai negara akan berlangsung yang dijangka dihadiri lebih 5,000 pelawat perdagangan dan 1,000 peserta seminar.

“Dengan tema ‘Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration’, ia jelas menunjukkan aspirasi kita untuk memupuk perpaduan, kerjasama dan pembangunan yang mampan dalam bidang keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persediaan menjelang AISSE’25 hari ini.

Saifuddin berkata, aspek inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar turut menjadi tumpuan AiSSE 2025 yang dianjurkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pameran itu juga, katanya, dijangka memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dengan menarik pelaburan dan mencetuskan peluang kerjasama antara kerajaan dan sektor industri.

“Pempamer membawa teknologi canggih, termasuk AI yang mampu menganalisis ancaman siber secara pantas dan memberi penyelesaian yang efektif. Kita perlu memanfaatkan teknologi ini untuk meningkatkan keselamatan negara.

“Usaha keselamatan adalah dinamik dan memerlukan penyesuaian berterusan. AISSE’25 adalah platform terbaik untuk kita mengenal pasti peluang baharu dan memperkukuh dasar keselamatan kita,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, acara berkenaan juga adalah antara usaha berterusan Malaysia bagi mengangkat kedudukan negara dalam indeks keamanan global, seperti Global Peace Index 2024, yang kini meletakkan Malaysia di tangga ke-10. 

“Ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul tetapi usaha perlu diteruskan untuk memperbaiki kedudukan ini. Pameran ini mampu membantu kita untuk terus menambah baik. 

“Usaha untuk meningkatkan (kedudukan) ini bukan statik. Ia satu usaha yang dinamik, fokus dan ada kesediaan untuk mengiktiraf bahawa sekarang sudah ada pelbagai inovasi baharu,” katanya.-BH Online