Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LONDON: Malaysia yakin ia boleh mengemudi sebarang ketidaktentuan politik atau ekonomi yang timbul daripada pentadbiran Donald Trump yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) Isnin ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata masih terlalu awal untuk memastikan bahawa ketegangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) akan berlaku semasa pentadbiran Trump.

Beliau berkata Malaysia dan ASEAN telah mengadakan libat urus dengan kedua-dua negara itu selama beberapa dekad, dan menegaskan bahawa Malaysia akan terus mengekalkan dasar berkecuali dalam hubungannya dengan negara lain.

Anwar berkata China telah menjadi rakan dagangan yang sangat penting untuk Malaysia manakala AS terus menjadi pelabur terbesar di Malaysia, syarikat seperti Google dan Amazon melakukan pelaburan besar kepada negara.

Berucap pada majlis makan malam dan sesi libat urus bersama lebih 700 diaspora Malaysia di sini, Perdana Menteri berkata mungkin terdapat sedikit ketidaktentuan berikutan keadaan semasa hubungan antara kedua-dua negara berkenaan.

“Mungkin akan ada sedikit perubahan tetapi saya pasti kita akan dapat mengadakan libat urus dengan China dan AS,” kata Anwar yang berada di sini dalam lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom.

Apa yang lebih penting, Malaysia akan mengekalkan dasar pemusatannya dalam libat urus dengan kuasa besar global, demi kepentingan negara.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Anwar kekal dengan pendirian berkecuali Malaysia dalam mengadakan libat urus dengan negara lain, menekankan bahawa negara akan berpendirian bebas dalam keputusannya kerana ia meneruskan kepentingan nasional dan strategiknya berdasarkan prinsipnya sendiri.

Trump akan dilantik sebagai Presiden AS ke-47 pada Isnin ini. – BERNAMA