Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menyemak kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) tahun ini dalam usaha mencari dan menarik bakat terbaik.

Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata semakan akan dibuat membabitkan pencapaian dan keberkesanan matlamat penubuhan akademi itu.

“Faktor seperti keciciran dalam kalangan kadet, isu disiplin yang tidak habis-habis, kelestarian kos dan perbelanjaan akan dilihat oleh kementerian.

“Selain itu, keanjalan dalam menetapkan bidang yang diperlukan perlu diperhalusi secara serius,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab

Rahman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pada tahun lalu, negara digemparkan dengan kejadian buli membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK–UPNM) yang cedera ditekap seterika disyaki dilakukan pelajar senior.

Hasil siasatan dijalankan, lima pegawai kadet ALK-UPNM terbabit kes buli terbabit dikenakan tindakan pembatalan perkhidmatan dan diarah membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kementerian akan memikirkan pembiayaan khas bagi menaja pengajian pelajar dalam bidang kritikal diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, kementerian juga akan mempertimbang pendekatan menebus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan terpilih dalam kalangan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang berjaya diterima masuk ATM.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengukuhkan perkhidmatan ATM iaitu mengiktiraf pengalaman anggota dengan pemberian kelayakan sekurang-kurangnya diploma, menggerak kerjasama Perhebat dan industri serta memantapkan program Protege ATM.-BH Online