Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan harga pakej umrah yang terlalu murah dan promosi melibatkan individu terkenal seperti selebriti dan pempengaruh.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, bakal jemaah perlu membuat pemilihan antaranya syarikat yang berwibawa dan berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Jangan mudah terpedaya dengan harga pakej yang terlalu murah dan jangan mudah percaya kepada promosi-promosi yang melibatkan individu terkenal tanpa melakukan semakan terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, bakal jemaah boleh mengelakkan kejadian serupa dengan mengambil langkah membuat semakan lanjut seperti melawat pejabat agensi yang dipilih serta semakan latar belakang dan rekod prestasi syarikat berkenaan.

“Insya-ALLAH dengan langkah-langkah yang diambil, kita akan dapat menjalani ibadah umrah dengan tenang,” jelas Mohd Na’im.

Beliau yang kini berada di Jeddah, Arab Saudi berkata, syarikat pengendali umrah yang memberi alasan pembatalan hotel oleh pihak Arab Saudi sering dijadikan alasan lapuk.

“Bakal jemaah disarankan untuk membuat laporan polis dan aduan kepada pihak MOTAC,” katanya.

Terdahulu akhbar melaporkan lebih 300 bakal jemaah umrah terkandas selepas pihak syarikat menunda tarikh penerbangan yang sepatutnya pada hari ini kepada suatu tarikh yang tidak di pastikan.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di ibu pejabat syarikat itu mendapati, ramai bakal jemaah hadir menuntut penjelasan dan pemulangan bayaran.

Salah seorang bakal jemaah yang ditemui, Anuar Musa berkata, ramai yang masih berharap untuk menjejaki kaki ke Tanah Suci walaupun masih samar dan tiada jaminan.

“Sehingga kini, pihak syarikat gagal menunaikan janji yang dibuat kepada jemaah termasuk untuk menyediakan tiket penerbangan, urusan visa serta kemudahan hotel.

“Malah pemilik syarikat juga gagal dihubungi setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili jemaah Siti Raudah Mohd Rais mendesak agar pihak syarikat segera membuat pemulangan wang kepada mereka yang terlibat.

“Dianggarkan jumlah kerugian lebih RM2.1 juta meliputi pakej yang ditawarkan,” katanya.-Sinar Harian