KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mengesahkan kuota haji untuk seramai 31,600 jemaah pada tahun ini dan sedang berusaha mendapatkan 10,000 lagi kuota tambahan daripada Arab Saudi.
Jumlah kuota haji itu adalah di antara kandungan Memorandum Urusan Haji yang ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah di Superdome, Jeddah, baru-baru ini.
Mengulas memorandum itu, Mohd Na’im berkata, ia adalah komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah, khusus untuk musim haji kali ini.
Memorandum itu, katanya, membabitkan beberapa persetujuan, antaranya jumlah kuota haji rasmi Malaysia seramai 31,600 orang tahun ini, selain negara akan menyelesaikan semua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi, lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.
Beliau berkata, Malaysia turut menyatakan persetujuan mematuhi garis panduan berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah seperti ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi .
“Alhamdulillah, menerusi kunjungan rasmi ini, kita memeterai memorandum bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Ini adalah antara usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambah baik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang peningkatan kualiti perkhidmatan TH di tanah suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Na’im ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Tawfig turut mengemukakan permohonan kuota haji tambahan sebanyak 10,000 dengan ia akan dipertimbangkan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.
Pertemuan rasmi itu diadakan sempena acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H yang mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari seluruh dunia dan turut menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji.
Simposium selama empat hari bermula Isnin lalu, itu dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.
Delegasi Malaysia turut diwakili Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman.-BH Online