KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang mewujudkan platform digital bagi membolehkan petugas kesihatan yang mempunyai jawatan sama di dua lokasi berbeza melakukan penukaran penempatan secara kaedah ‘suka sama suka’.
Laman sesawang CodeBlue melaporkan, Sistem Pertukaran Suka Sama Suka membolehkan petugas kesihatan di bawah skim sama untuk bertukar sesama sendiri tanpa membabitkan Bahagian Sumber Manusia (BSM).
CodeBlue memetik kenyataan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan KKM, Datuk Seri Norazman Ayob ketika sesi town hall di ibu pejabat KKM di Putrajaya semalam berhubung Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam KKM.
“Sebagai contoh, seorang jururawat di Hospital Serdang yang ingin pulang ke Kelantan, manakala terdapat seorang lagi jururawat di Kelantan yang ingin berpindah ke Selangor. Kedua-duanya boleh mendaftar dalam sistem ini.
“Apabila kedua-dua pihak bersetuju, mereka akan memaklumkan kepada BSM dan mengisi borang. Terdapat beberapa syarat, contohnya, skim (pegawai) dalam pertukaran itu mesti sama, ia tidak boleh membabitkan jururawat dengan pembantu perubatan atau pakar kardiologi dengan pakar oftalmologi,” katanya.
Norazman, yang juga Ketua Pegawai Reformasi KKM, mengakui terdapat banyak aduan daripada petugas kesihatan, termasuk daripada Hartal Doktor Kontrak (HDK), berkaitan penempatan.
“Secara prinsip, sistem ini akan membolehkan sesiapa sahaja membuat pertukaran atas alasan pasangan, kesihatan peribadi, atau keluarga,” katanya seperti dilapor portal terbabit.
Norazman berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Reformasi esok yang mana jawatankuasa itu akan menetapkan garis masa yang jelas mengenai bila sistem berkenaan boleh mula beroperasi.
“Namun saya menetapkan sasaran tinggi untuk sistem berkenaan siap menjelang 1 Jun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Norazman berkata BSM sedang menjalankan pemetaan sumber manusia untuk lima skim utama dalam perkhidmatan kesihatan awam membabitkan perkhidmatan perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan dan pembantu perubatan.
Pemetaan sumber manusia bagi skim lain pula, katanya seperti kesihatan bersekutu akan dilakukan selepas itu.
“Sebuah pasukan petugas pelbagai disiplin terdiri pegawai di peringkat pelaksana seperti pegawai pengurusan kualiti sudah diberi mandat untuk turun padang ke hospital kerajaan bagi memahami masalah sumber manusia.
“Langkah itu akan dimulakan dalam masa terdekat di satu atau dua hospital.
“Mereka akan bertemu dengan pengarah hospital atau pihak pengurusan untuk mendengar, melihat dan merasai sendiri masalah dihadapi setiap hospital berkaitan aduan yang sering timbul, seperti keletihan melampau.
“Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita turun padang dan melihat sendiri keadaan di lapangan. Kita tidak boleh lagi dikatakan hanya duduk di menara gading, di ibu pejabat kita, tanpa menyedari apa yang berlaku di lapangan.
“Kita bercakap tentang norma dan perancangan, tetapi realitinya apa yang berlaku di lapangan tidak sama dengan apa yang kita rancangkan,” katanya.
Norazman juga berkata, Bahagian Perancangan KKM juga sedang menjalankan kajian pemetaan sumber manusia tenaga kerja kesihatan dengan kerjasama Bank Dunia.-BH Online