SHAH ALAM – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan sebab bantahan dilakukan terhadap Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sewaktu zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) susulan terdapat prinsip penguatkuasaan yang salah.
Beliau berkata, ketika itu ia dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta yang menjadikan model berkenaan sebagai satu perniagaan.null
“Setiap saman dikeluarkan oleh AES dahulu, ada sebahagian hasil tersebut disalurkan kepada syarikat swasta.
“Lebih banyak saman dikeluarkan maksudnya lebih keuntungan untuk syarikat. Sehingga satu saman, 50 peratus dimasukkan dalam syarikat,” katanya dalam hantaran video di Facebook pada Isnin.
AES kini dikenali sebagai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) beroperasi dan dikuat kuasa berpandukan kaedah serta garis panduan operasi standard yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebelum ini, AES dibantah pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.
Selepas mengambil alih kerajaan, PH tidak menyambung kontrak dua konsesi pengendali AES berkenaan yang tamat pada 31 Ogos 2019.
Anthony pada Selasa lalu mengumumkan kamera AwAS dinaik taraf kepada kaedah pemantauan titik ke titik, menggantikan pendekatan statik semasa.
Mengulas lanjut, Anthony turut mengingatkan bahawa beliau telah membatalkan 4.03 juta saman AES sewaktu PH menjadi kerajaan pada 2018.
Menurut beliau, hasrat kerajaan ketika ini adalah untuk mencegah pemanduan laju dalam kalangan pengguna jalan raya, selain penguatkuasaan lebih tegas terhadap semua termasuk kenderaan berat.
“Saya tahu saya dimaki tetapi kalau kita tidak berani buat keputusan selagi mana pun kita tidak akan ada perubahan ke arah lebih selamat.
“Kita buat langkah ini demi keselamatan, demi memastikan jalan raya lebih selamat,” katanya.-Sinar Harian