DUBAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga pemerintah Dubai.
Pertemuan itu berlangsung di Istana Za’abeel, di sini.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala serta meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data, serta isu serantau dan global yang menjadi perhatian bersama.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Lawatan kerja Anwar ke UAE selama tiga hari itu adalah atas jemputan Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW).
Perdana Menteri tiba di Abu Dhabi, kelmarin.
Terdahulu, Anwar memulakan hari kedua lawatan beliau dengan mengadakan perjumpaan bersama pihak pengurusan tertinggi Dana Kekayaan Berdaulat negara itu, iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala dan Masdar di Abu Dhabi.-BH Online