Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Dana pinjaman selain latihan keusahawanan yang disediakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membantu wanita mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sokongan AIM menguatkan lagi semangat penerima bantuan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Sehubungan itu, katanya, ramai wanita khususnya suri rumah kini mampu menguruskan perusahaan kecil-kecilan dengan berkesan, sekali gus mengubah kehidupan keluarga.

“Paling penting AIM menyediakan latihan dan sokongan berterusan sehingga penerima bantuan atau sahabat AIM itu benar-benar dapat menguruskan perusahaan mereka dengan baik,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Singgah Lok Karnival Sahabat Usahawan AIM Cawangan Kuching di Eco Mall Samariang, Petra Jaya, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM yang juga Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid serta Pengarah Urusan AIM, Datuk Shamir Aziz.

Fadillah berkata, kejayaan Sahabat AIM menguruskan bantuan dan memanfaatkan latihan terbukti apabila mereka berjaya membayar balik pinjaman tepat pada masanya.

“Kalau tidak berjaya, mereka tidak dapat membayar balik pinjaman, sebab itu kadar pinjaman yang tidak dibayar begitu kecil iaitu 0.02 peratus saja.

“Ini bermakna usaha mereka berjaya meningkatkan taraf hidup dan saya mengharapkan serta mendoakan kejayaan berterusan kepada AIM dan sahabat AIM itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussian dalam ucapannya berkata, di Sarawak saja sejumlah RM262 juta diperuntukkan sebagai pinjaman kepada 42,184 Sahabat AIM yang aktif.

Beliau berkata, pinjaman disalurkan itu antara RM3,000 hingga RM30,000 bagi setiap Sahabat AIM.

Katanya, sehingga September 2024, jumlah sahabat AIM seluruh Malaysia seramai 313,000 orang.-BH Online