KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak memfokuskan isu remeh, sebaliknya muncul sebagai jaguh dalam memperjuangkan isu rakyat terutama golongan miskin dan memperbaiki kualiti pendidikan.
Perdana Menteri turut mengingatkan masih banyak golongan yang memerlukan pembelaan sewajarnya, selain menyarankan supaya MBM turut memberikan tumpuan kepada isu ekonomi serta membangunkan negara.
“Rakyat merempat masih banyak, (masalah) mutu pendidikan masih belum selesai, ramai belum dapat pembelaan, tumpukan ekonomi, bangunkan negara kita, jangan sibuk soal remeh.
“Saya singgung (sentuh) golongan besar yang bilionair, (tetapi) banyak suara atas nama Melayu dan Islam mempertahankan tauke besar.
“Mereka cakap (tuduh) saya dendam. Dendam apa? Kamu curi (wang) berbilion, pulangkan balik kepada rakyat. Ada orang punya (memiliki) kekayaan melimpah di bank luar negara.
“Saya kata bayar balik kepada rakyat (melalui) cukai dan pendapatannya, namun kalau bercakap (mengenai) Melayu, Islam.. okey, tetapi pulangkan balik kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) Ke-73 di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Menterinya, Adam Adli; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.
Mengimbau kenangan sebagai Presiden MBM keenam, Anwar mengakui akan menerima sokongan banyak pihak jika mengetengahkan perjuangan menentang rasuah serta membongkar mana-mana individu yang dikenal pasti mencuri harta.
“Masa saya jadi Presiden MBM, saya fikir ramai akan sokong kalau kita menentang rasuah, bongkar dan cari balik orang yang curi harta.
“(Segelintir dilihat menjadi) pejuang Melayu, Islam, ahli politik, rupanya tidak semua begitu kerana mereka juga terpukau dengan harta dan kuasa. Sebahagiannya itu, siapa yang berikan mereka dana dan itu yang penting (untuk mereka),” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri mengingatkan belia supaya sentiasa mengutamakan sikap idealisme dan cetusan idea seiring kekuatan semangat demi membawa perubahan di negara ini.
Anwar berkata, belia tidak seharusnya berfikiran lembab, bersikap hambar mahupun terikat dengan mana-mana kelompok tertentu, sekiranya mahu berjaya membawa perubahan.
Sikap sedemikian, katanya, hanya akan menyebabkan mana-mana individu atau pergerakan belia di negara ini berdepan kegagalan, terutama dari segi cetusan hati nurani.
“Ia tak mudah dan tentunya akan sedikit sebanyak (golongan belia) melakukan kesilapan kerana kegopohan mereka. Kadang-kadang (kerana) belum cukup menghayati atau menimba ilmu.
“Namun, ia difahami andai kata ini (kesilapan) terpancar daripada semangat keinginan untuk membawa perubahan yang bergelora.
“Ini bagi saya isu paling dasar yang ‘fundamantel’ (asas) untuk menentukan, sama ada kita relevan sebagai gerakan belia pencetus idea dan pembaharuan atau sekadar organisasi formal,” katanya-BH Online