Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun bakal memuktamadkan kerjasama bagi membangunkan sektor tenaga baharu, hidrogen menjelang Mei ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, inisiatif terbaru itu membabitkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dengan kerjasama PETRONAS.

“Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) sudah memberi jaminan dan dengan sokongan Perdana Menteri (Jepun), Shigeru Ishiba, kerjasama dalam teknologi baharu ini dijangka berjaya, insya-Allah.

“Kami berharap dapat mempercepatkan proses ini untuk memenuhi sasaran menjelang Mei (ini) sama ada di Tokyo atau Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar dan Ishiba bersama delegasi masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala membincangkan kemajuan hubungan antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat itu turut menyentuh mengenai keperluan pembabitan Jepun dalam sektor logam nadir dan kilang pemprosesan unsur nadir bukan radioaktif (RE-REE).

Mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia, beliau berkata, pembabitan Jepun juga diperlukan dalam inisiatif strategik Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Saya juga menyebut mengenai pembentukan APG yang membabitkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, serta inisiatif kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura. Sudah tentu, ini memerlukan pembabitan Jepun,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia dan Jepun turut membincangkan keperluan untuk mengekalkan keamanan serta menyokong Kod Tatalaku di Laut China Selatan, kerjasama Indo-Pasifik serta penyelesaian secara baik berdasarkan Konsensus Lima Perkara di Myanmar.

Sementara itu, Ishiba berkata, Jepun sedia bekerjasama dan berkongsi pengalaman serta kepakaran dengan Malaysia berkaitan isu bencana khususnya membabitkan banjir.

Katanya, ini kerana Malaysia sering terdedah kepada risiko dan kerosakan akibat bencana itu.

“Kami juga bersetuju bahawa antara Jepun dan Malaysia, kami ingin bekerjasama dalam pelbagai bidang, dalam komuniti antarabangsa dan kami melihat adanya persamaan dalam pandangan.

“Isu mendesak seperti Laut China Timur dan Laut China Selatan, Asia Barat serta situasi di Myanmar turut dibincangkan. Kami mengadakan pertukaran pandangan secara terbuka dan bersetuju untuk berkomunikasi dengan lebih rapat,” katanya.-BH Online