KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil pendekatan global dalam pembentukan dasar dengan kemuncak bakal diperlihatkan menerusi pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata Malaysia dilihat lebih menonjol berbanding negara lain menerusi pembabitan dalam perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi yang bertentangan dengan arus global.
Malah, katanya, kestabilan politik dan dasar yang dilaksanakan Malaysia lebih juga lebih baik, selain memiliki profil demografi dan pertumbuhan negara yang unik.
“Malaysia perlu mengambil pendekatan global dalam pembentukan dasar. Persekitaran global sedang berubah dan memerlukan pemikiran serta tindakan yang lebih teliti daripada semua pihak, terutamanya bagi negara-negara kecil, terbuka, dan tidak berpihak (SONA) seperti Malaysia yang kini memainkan peranan penting di pentas dunia.
“Justeru, negara-negara SONA di Asia Tenggara perlu memainkan peranan penting apabila profil, pendekatan dan visi rantau ini bertentangan dengan arus global yang sedang bergerak ke arah yang bertentangan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di sini, hari ini.
FEM dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menyentuh mengenai perbezaan profil demografi, Rafizi berkata, Asia Tenggara memiliki saiz pasaran dengan 665 juta penduduk yang bakal menjadikan blok itu sebagai ekonomi keempat terbesar dunia.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, populasi kelas pertengahan akan berganda daripada dua dekad lalu untuk menjadi majoriti besar di Asia Tenggara, mencapai 65 peratus.
“Ini bermakna populasi kelas pertengahan Asia Tenggara akan melebihi saiz populasi Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), menjadikan rantau ini sebagai kuasa pengguna dengan kuasa beli dan taraf hidup yang lebih tinggi.
“Tambahan pula, profil belia dan digital Asia Tenggara menunjukkan bahawa penduduk di rantau ini akan lebih muda, lebih berdaya usahawan dan lebih terhubung secara digital berbanding rantau lain di dunia,” katanya.
Beliau berkata, walaupun rantau lain dijangka mengalami pengecutan, Asia Tenggara diramalkan akan terus berkembang pada kadar mantap sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus untuk dekad yang akan datang.
“Profil demografi dan pertumbuhan profil golongan muda, digital, kelas pertengahan adalah sesuatu yang jarang berlaku dan luar biasa. Ia menjelaskan mengapa pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan digital telah mengalir ke Malaysia sejak dua tahun lalu dan akan terus meningkat seiring dengan pertumbuhan fasa seterusnya rantau ini,” katanya.
Rafizi berkata, mod utama pertumbuhan rantau ini untuk dekad akan datang dijangka terus bertentangan dengan arus perlindungan dan isolasi global yang wujud ketika ini dengan Asia Tenggara adalah rantau yang paling banyak berdagang di dunia.
“Dekad ini akan melihat Asia Tenggara terus menentang arus global dengan mencari kerjasama dan perkongsian, sama ada dengan sekutu tradisional atau sebaliknya, berdasarkan parameter pragmatik yang saling menguntungkan supaya pertumbuhan Asia Tenggara terjamin,” katanya.-BH Online