Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil kerajaan dan syarikat di Qatar yang berpotensi meningkatkan ekonomi dan pelaburan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengetuai lawatan kerja selama dua hari berkata, lawatan itu dimulakan dengan pertemuan bersama Pengerusi Pelancongan Qatar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Visit Qatar, Saad Ali Al Kharji.

Beliau berkata, pertemuan itu membuka ruang untuk meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan produk pelancongan untuk memberi impak besar kepada ekonomi Johor dan Qatar termasuk pelaburan dalam infrastruktur pelancongan, hotel bertaraf antarabangsa serta pertukaran kepakaran dalam sektor pelancongan, ia kini menjadi salah satu teras utama ekonomi negeri berkenaan.

“Qatar Tourism telah berjaya membina destinasi ikonik seperti Muzium Seni Islam dan Qatar National Museum yang menjadi tarikan utama.

“(Justeru), kita yakin dengan potensi dan kekayaan dimiliki Johor dalam aspek sejarah, budaya dan alam semula jadi seperti kepulauan di Mersing, keindahan pantai Desaru dan taman-taman negara di Johor, negeri ini mampu mencontohi kejayaan Qatar dalam mencipta produk pelancongan bertaraf dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata, beliau yakin Johor dapat memperkukuh sektor pelancongan dan meningkatkan daya saing sebagai destinasi pelancongan global dengan potensi pelaburan serta kerjasama daripada Qatar Tourism.

“Seiring dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030, segala usaha dijalankan ini akan memastikan negeri ini berada di peta pelancongan dunia selain menawarkan pengalaman unik dan bertaraf antarabangsa kepada para pelancong.

“Semoga dengan sokongan semua pihak, segala usaha dijalankan akan meletakkan Johor di peta pelancongan dunia. Insya-Allah, kita akan menyaksikan Johor diangkat sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menjelang 2030,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mengenai visi dan hasrat baginda untuk terus membangunkan negeri dan rakyat Johor, ia akan dilaksanakan sebaiknya.-BERNAMA