Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Indonesia menyatakan hasrat untuk membantu dan memberi kerjasama kepada Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN pada tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara itu dinyatakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam pertemuan tertutup pada majlis makan tengah hari yang diadakan di ibu negara hari ini.

“Kunjungan rasmi Prabowo pada 27 Januari ini, tetapi beliau rasa nak datang (hari ini) kerana kita sahabat lama dan kita perlu berbincang dari hati ke hati isu bersama.

“Hasrat beliau (adalah) untuk bekerjasama serta membantu saya dalam Kepengerusian ASEAN,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas menghantar Prabowo pulang ke Indonesia yang menamatkan lawatan kerja sehari ke Malaysia.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula bulan ini dengan Tema Kepimpinan ASEAN 2025 Malaysia adalah ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.

Sebelum ini Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Anwar berkata, ketika pertemuan tidak rasmi itu, mereka turut berbincang mengenai hubungan dua hala, khususnya bagi meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama perbatasan serta beberapa isu berbangkit.

“Tentunya pertemuan ini lebih banyak (perbincangan) tidak rasmi. Kedua-dua kami berasa harus dilakukan sesuatu yang lebih untuk meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama perbatasan serta menyelesaikan beberapa masalah berbangkit,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan Prabowo yang menaiki kenderaan sama tiba di Kompeks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada jam 1.10 tengah hari. 

Sebelum menaiki pesawat khas membawa presiden Indonesia itu jam 1.20 tengah hari, Prabowo melintasi barisan kawalan kehormatan 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), diketuai Kapten Raja Azri Syahir.

Yang turut hadir, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono. 

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, memaklumkan lawatan itu adalah cerminan hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.

Pada 2023, Indonesia adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).

Sejak Januari hingga Oktober lalu, jumlah dagangan dua hala mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.-BH Online