KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memberi penegasan dan cabaran kepada ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan bernas bagi memperkasakan pembangunan ekonomi bumiputera.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemimpin terbabit juga berperanan menggerakkan prakarsa atau usaha berkaitan pembangunan ekonomi golongan bumiputera.
Beliau menegaskan perkara itu dalam hantaran melalui laman X selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2025.
Anwar memaklumkan pada mesyuarat itu, MEB telah membincangkan kertas-kertas berkaitan pemerkasaan syarikat bumiputera dalam pemerolehan kerajaan melalui Program mySTI dan hala tuju pelaksanaan Wakaf MARA MADANI.
Katanya, MEB adalah platform tertinggi yang mengangkat agenda bumiputera sebagai agenda nasional.
“MEB berperanan sebagai platform utama dalam memastikan segala perancangan direncanakan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), dapat dipantau keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.-BH Online