Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang menyelaras proses penghantaran pulang warga Palestin yang dibawa ke Malaysia bagi tujuan perubatan sebelum ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar yang mengusahakan penghantaran pulang warga terbabit akan berhubung dengan kerajaan Mesir mengenai proses tersebut.

“Hari ini Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai beberapa perbincangan (termasuk) koordinasi yang sedang dilakukan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan untuk berhubung dengan kerajaan Mesir bagi mengusahakan penghantaran pulang warga Palestin.

“Tapi, proses ini sedang berjalan dan dalam masa sama, segala perkhidmatan perubatan yang diberi (masih) akan terus disediakan. Kerajaan memandang serius segi kebajikan mereka yang telah dibawa untuk tujuan perubatan di Malaysia,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, media melaporkan warga Palestin yang membuat kecoh dan merosakkan barang di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) dipercayai berpunca kerana mahu proses permohonan pulang mereka ke Palestin dipercepatkan.

Dalam pada itu, ketika ditanya lanjut mengenai proses serta kaedah penghantaran semula warga terbabit, Fahmi berkata, perkara tersebut akan dimaklumkan kemudian oleh kementerian berkaitan. – KOSMO! ONLINE