KUALA LUMPUR: Cadangan untuk memanfaatkan dana Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu pelajar miskin bagi menampung perbelanjaan awal masuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Institut pengajian tinggi (IPT) diterima Majlis Ekonomi Bumiputera.
Perkembangan itu dikongsikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, selaku individu yang mencadangkan inisiatif terbabit.
Menerusi inisiatif itu, beliau berkata, ia dapat menyelaraskan dana berkenaan bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin, bertujuan mengelak mereka menolak tawaran masuk ke institusi pendidikan terbabit.
“Biasanya kos awal seperti perbelanjaan untuk masuk asrama tidak kira MRSM, SBP (Sekolah Berasrama Penuh), IPT dan lain-lain memerlukan perbelanjaan yang besar tidak kurang RM1,500 hingga 2,000 yang amat membebankan golongan berpendapatan rendah dan miskin.
“Sering kali tawaran ke MRSM dan IPT ditolak kerana tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan seperti ini. Sebab itulah Wakaf MARA diwujudkan untuk menggembleng dana bagi maksud dan tujuan seperti ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada 22 Julai tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan, bersetuju mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada inisiatif yang dinamakan Tabung Wakaf MARA Madani itu.
Ketika itu, Asyraf Wajdi dipetik berkata, proses berkenaan akan dilaksanakan sebaik saja MARA mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Mutawalli.
Anwar ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada Mac tahun lalu, mengumumkan Tabung Wakaf MARA Madani dengan geran berjumlah RM100 juta serta menyasarkan terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.
Asyraf sebelum ini turut memaklumkan kesudian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menjadi penaung Tabung Wakaf MARA Madani akan menambah kredibiliti penubuhan tabung itu serta menjadi cerminan agenda pemerkasaan Bumiputera.-BH Online