Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia bersama negara anggota ASEAN berada pada kedudukan strategik untuk mempromosikan rantau ini sebagai destinasi pelaburan jangka panjang melalui rantaian bekalan yang berdaya tahan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong. 

Beliau menegaskan bahawa usaha menarik pelaburan mampan bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan, tetapi juga memastikan tawaran gaji yang lebih baik serta memudahkan pemindahan teknologi kepada rantau ini. 

“Kerjasama antara negara anggota amat penting untuk mempromosikan daya tahan rantaian bekalan. Kita mempunyai kedudukan unik, bukan hanya bagi Malaysia tetapi juga ASEAN, yang berada dalam zon berkecuali. 

“Justeru, sebagai negara atau rantau ASEAN, kita perlu memanfaatkan kedudukan ini untuk mempromosikan daya tahan rantaian bekalan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN: Tinjauan bagi 2025, di sini, hari ini.

Chin Tong menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai model teladan dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, memandangkan syarikat kini semakin memberi perhatian terhadap aspek ini. 

“JS-SEZ adalah contoh baik di mana kedua-dua kerajaan menyedari bahawa syarikat kini meninjau daya tahan rantaian bekalan sebagai kriteria penting. Ini mencerminkan potensi rantau ASEAN untuk muncul sebagai destinasi pelaburan yang berdaya tahan dan mampan,” katanya. 

Chin Tong turut menyeru negara anggota ASEAN untuk melihat antara satu sama lain bukan sebagai pesaing, tetapi sebagai rakan strategik yang saling melengkapi dalam membentuk rantaian bekalan serantau yang kukuh dan mampan. 

“Dalam konteks ini, lebih banyak projek pelaburan bersama di seluruh ASEAN atau kerjasama sub-rantau akan membantu memperkukuh rantaian bekalan ASEAN, sekali gus meningkatkan keupayaan ekonomi rantau ini,” katanya.

Beliau turut mengimbas sejarah penubuhan ASEAN pada 1967, yang ketika itu bertujuan mengukuhkan kestabilan serantau di tengah-tengah dunia yang sedang beralih. 

“Penubuhan ASEAN adalah hasil pandangan jauh pengasasnya, yang memahami bahawa rantau ini tidak harus berpihak kepada mana-mana kuasa besar semasa era Perang Dingin. Hari ini, cabaran serupa kembali muncul, dan kita perlu bersatu sebagai satu kekuatan. 

“Kita mesti bekerjasama rapat dan memastikan setiap negara anggota ASEAN mencapai kestabilan ekonomi serta berdaya saing untuk membentuk perpaduan serantau yang lebih kukuh,” katanya.-BH Online