Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura (MSEVP) bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan rakyat bakal bermula pertengahan tahun ini.

Program itu akan bermula dengan projek perintis susulan pertukaran Surat Niat antara Yayasan Antarabangsa Singapura dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Pertukaran dokumen antara Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Singapura Chan Chun Sing disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lawrence Wong di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Terdahulu, kedua-dua Perdana Menteri itu mengadakan perbincangan sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11.

Dalam pada itu, Wong pada sidang media bersama Anwar berkata, pertukaran Surat Niat terbabit antara usaha memperkasakan kerjasama bilateral yang dapat memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.

“Kami sedang melabur dalam masa depan bersama. Anda sudah menyaksikan pelbagai perjanjian yang baru sahaja kami tukar, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pendidikan Tinggi, serta pertukaran guru Bahasa Inggeris melalui Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura.

“Program ini sudah dibincangkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan saya ketika lawatan pengenalan saya tahun lalu,” katanya.

Dalam lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Singapura ke Malaysia pada Jun tahun lalu, Malaysia berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar tenaga pengajar untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat di seluruh negara.

Anwar dilaporkan berkata, perkara itu disentuhnya dalam pertemuan empat mata dengan Wong di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Beliau menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.-MyMetro Online