Bangi: Pelajar yang ingin menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon menggunakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 10,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM pada 2023 dan 2024, justeru kerajaan memberikan peluang kedua kepada mereka.
“Kita harap kerjasama dapat dijalinkan antara Majlis TVET Negara dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengenal pasti pelajar di kalangan mereka.
“Mereka boleh memohon memasuki kursus TVET yang bersesuaian dengan citarasa masing-masing dan memohon melalui Unit Pengambilan TVET (UPTVET),” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kuali Cafe @ UKM, di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut menyelaras semua institusi TVET bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar.
“Terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara. Kita selaraskan semua institusi itu, jadi mereka mempunyai banyak pilihan dan kursus bersesuaian serta institusi mana mereka masuki,” katanya.-MyMetro Online