Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kulai: Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa kedua dijangka dimulakan tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sehingga kini, sebanyak 1,460 daripada 1,661 menara dalam fasa satu telah siap dibina manakala 1,087 menara sudah beroperasi sepenuhnya.

“Sekarang memang kita sudah mengenal pasti lokasi untuk JENDELA fasa dua dan sekarang kita sedang mengenal pasti teknologi bersesuaian untuk digunakan bagi fasa kedua.

“Ada kemungkinan besar fasa dua akan kick offtahun ini juga. Sudah tentu kita berharap JENDELA fasa satu dapat disiapkan dalam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan projek JENDELA fasa dua selepas menghadiri Program Kampung Angkat MADANI Felda Bukit Permai, di sini hari ini.

Sementara itu, Teo menyeru kerjasama daripada pihak Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah di kawasan terlibat untuk memperhalusi isu tanah yang menjadi antara isu dalam pelaksanaan projek JENDELA.

“Untuk menara komunikasi pula, aspek lokasi memang sangat penting. Kalau kita ubah lokasinya mungkin 500 meter tetapi dia punya rangkaian liputan sudah berbeza. Ini merupakan satu isu yang kita perlu atasi.

“Selain itu, banyak projek yang menaranya sudah siap tetapi masih belum beroperasi. Jadi, kami telah minta pihak kontraktor ataupun pihak penyedia perkhidmatan (telco) untuk pastikan sekiranya menara sudah siap, sekurang-kurangnya mereka perlu pasang interim solution.

“Jika dalam kontrak tulis perlu disambung dengan fiber optik ataupun gentian optik tetapi kalau kedua-dua teknologi itu tidak bersedia jadi mereka perlu sekurang-kurangnya mengguna pakai teknologi seperti satelit supaya ia tidak menjadi naked tower,” katanya.

Ahli Parlimen Kulai itu juga berkata prestasi pihak kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual juga akan diambil kira dalam pemilihan pelaksana untuk JENDELA fasa kedua nanti.

“Kalau kita ikut prestasi mereka, memang itu akan menjadi satu daripada faktor untuk kita fikir siapa yang sesuai untuk membuat kerja ataupun tidak (JENDELA fasa dua),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata wujud keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan Fasa 2 Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan keberkesanan program berkenaan.

Beliau berkata proses penetapan lokasi menara telekomunikasi perlu dikaji semula susulan pelbagai isu berkaitan ketidaksiapan menara dan kelewatan penyediaan kesalinghubungan oleh syarikat diamanahkan.-MyMetro Online