PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha Kerajaan Perpaduan memperkasakan tatakelola pada pelbagai peringkat sebagai satu kejayaan berikutan tiada skandal atau kes besar boleh dipalitkan kepada kerajaan dalam tempoh dua tahun ini.
Perdana Menteri berkata, dalam tempoh itu, kerajaan pimpinannya menjalankan proses tender yang telus hingga tiada skandal besar berlaku.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=358&adk=1983910584&adf=1103367320&pi=t.aa~a.1654364369~i.3~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1735877660&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×358&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2025%2F01%2F1344299%2Ftiada-skandal-besar-dalam-tempoh-2-tahun-usaha-perkasa-tatakelola&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1735877661648&bpp=2&bdt=900&idt=2&shv=r20241212&mjsv=m202412090101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3D9dbb3a3d375924c8%3AT%3D1735731561%3ART%3D1735877647%3AS%3DALNI_MYnzidPsNUQyKTan_sQ3LF4fMrGFA&gpic=UID%3D00000fcf61aba214%3AT%3D1735731561%3ART%3D1735877647%3AS%3DALNI_MYLobSp32mFq1yLQIxU8Qa81XITjQ&eo_id_str=ID%3D15b4b3ab0805b711%3AT%3D1735731561%3ART%3D1735877647%3AS%3DAA-AfjbGqEO1saaKiY9kp-M4_8Kn&prev_fmts=0x0&nras=2&correlator=5669665315021&frm=20&pv=1&u_tz=480&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=963&biw=430&bih=731&scr_x=0&scr_y=0&eid=31089326%2C31089340%2C95348326%2C95345967%2C95347432&oid=2&pvsid=1903937429447052&tmod=173404077&uas=1&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C731%2C430%2C731&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=2&uci=a!2&btvi=1&fsb=1&dtd=7
“Sementara kita tekankan soal tatakelola, yang saya anggap satu kejayaan, orang banyak bercerita mengenai kes lama dan saya nak sebut dalam tempoh dua tahun ini, saya syukur kepada Allah kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu pun skandal besar diungkapkan dalam tempoh dua tahun ini.
“Bagi saya ini kejayaan yang lebih besar. Kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah, negara ini negara hukum (ada undang-undang) dan kita harus mengambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sehubungan itu, Anwar mengingatkan penjawat awam supaya tidak terheret dengan hiruk-pikuk perbincangan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Sebaliknya, beliau berkata, penjawat awam perlu memberikan tumpuan terhadap usaha membangunkan Malaysia supaya menjadi negara yang hebat di rantau ini.
“Saya mahu penjawat awam mempunyai satu ketetapan bahawa tugas kita ialah melonjakkan ekonomi dan prestasi negara, kecekapan dan keseriusan kita.
“Percayalah beri satu dua tahun, kalau semangat sebegini, pengiktirafan sebegini rupa dan kesatuan semangat kita, saya percaya kita akan saksikan Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini, saya yakin,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tatakelola, Anwar mahu pimpinan kerajaan mencari kaedah baharu memastikan proses birokrasi ditangani sebaiknya.
“Kalau KSN kata dari menunggu berbulan untuk mendapat kelulusan, kita sekarang dapat catat dalam beberapa minggu, maka tujuan yang berikutnya adalah untuk mengurangkan dari beberapa minggu kepada satu minggu.
“Apakah ini mungkin? Saya percaya mungkin. Ini yang menjadi cabaran buat kita. Apakah perlu rakyat kita beratur berjam-jam atau mengambil cuti sehari hanya untuk mendapat atau perbaharui lesen, atau hal ini boleh dilakukan melalui proses disebut transformasi digital,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri mahu setiap penjawat awam termasuk pegawai rendah diberikan ruang menyampaikan pandangan dan idea dalam mesyuarat di jabatan kerajaan.
“Saya menekankan perkara ini berkali-kali untuk mengharapkan setiap jabatan, sekecil mana pun, mula tahun ini, minggu berikut ini, beri ruang kepada semua berbicara.
“Mesyuarat ini bukan mesyuarat dalam kalangan peringkat tertinggi. Tidak ada sebab seorang anggota perkhidmatan awam tidak terbabit dalam mana-mana pertemuan. Ingatlah, setiap jabatan harus pastikan setiap anggota itu terbabit,” katanya.
Justeru, beliau berharap KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dapat merangka kaedah memberi ruang kepada setiap anggota penjawat awam menyuarakan pandangan mereka.
“Kita ada 1.6 juta (penjawat awam), apa tidak boleh membabitkan mereka? Beri ruang dalam satu tahun, dua ke tiga minit untuk seorang berbicara,” katanya.-BH Online