Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN, 3 Januari-Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua, yang bertujuan menyuraikan trafik di kawasan tersebut, kini dalam peringkat kajian teknikal dan reka bentuk.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kajian teknikal itu dijangka mengambil masa setahun, sebelum pelaksanaan pembinaan selama lima tahun dimulakan. 

Jelasnya, pelaksanaan secara fizikal projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua itu akan dijalankan selepas agensi pelaksana menyelesaikan kerja-kerja kajian dan reka bentuk berkenaan. 

“Lazimnya ia bermula dengan kerja-kerja kajian dan reka bentuk pelaksana secara fizikal cuma boleh dilaksanakan setelah kajian reka bentuk disiapkan dan perlu ambil masa setahun sekurang-kurangnya. 

“Saya difahamkan peruntukan untuk projek itu sungai dua disediakan tahun ini termasuk bagi kerja-kerja perunding. 

“Dahulu dinyatakan RM2.7 billion. Kita perlu menunggu pengumuman rasmi dari pihak Kementerian Kerja Raya (KKR)”, katanya demikian  selepas Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) 2025 di sini.

Projek berkenaan merupakan antara beberapa inisiatif utama Pulau Pinang yang diumumkan oleh Anwar dalam Bajet 2025 pada 18 Oktober lepas selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.-Berita RTM