Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyukur atas pencapaian ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan memberangsangkan setakat ini, hasil usaha bersama pasukan kepimpinan dan penjawat awam di semua peringkat.

Beliau berkata, kejayaan ini mencerminkan ketekunan dan pengorbanan semua pihak, daripada pengurusan tertinggi hingga petugas di lapangan.

“Kita mesti iktiraf jasa semua, termasuk mereka di sempadan, di perbatasan dan juga petugas tidak beruniform. Inilah kejayaan bersama, bukan hanya milik satu pihak,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara (KSN),Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Berdasarkan prestasi memberangsangkan pada 2024, ahli ekonomi dilaporkan menjangka ekonomi Malaysia akan terus berkembang positif pada 2025, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur mencecah sehingga enam peratus.

Perdana Menteri baru-baru ini berkata, KDNK Malaysia berada pada landasan betul untuk berkembang antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, didorong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah.

KDNK Malaysia meningkat 4.2 peratus, 5.9 peratus dan 5.3 peratus masing-masing pada suku pertama, kedua dan ketiga 2024, menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun lalu sebanyak 5.2 peratus, meningkat daripada 3.8 peratus dalam tempoh sama pada 2023.

Angka bagi suku keempat dan keseluruhan 2024 dijadual diumumkan pada 14 Februari nanti.

Anwar seterusnya menekankan kepentingan mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan penjawat awam, dengan menyifatkan perubahan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai langkah penting ke arah keadilan ekonomi.

“Kenaikan signifikan bagi mereka pada peringkat bawah mencerminkan keadilan yang sebenar. Peratusan kenaikan tidak selalu menunjukkan impak sebenar, tetapi lonjakan pendapatan ini adalah lebih adil,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu turut diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaburan (GLIC), sambil menggesa syarikat swasta yang meraih keuntungan besar untuk memberikan gaji lebih setimpal kepada pekerja.

“Kerangka Malaysia MADANI menekankan keadilan sejagat, kejayaan negara diukur bukan hanya dari segi ekonomi tetapi juga aspek akhlak, moral dan pengurusan yang baik.

“Perkhidmatan awam kita mesti menjadi model komuniti beretika, berakhlak dan bertanggungjawab. Kejayaan negara ini tidak boleh bergantung kepada budaya selesa, tetapi memerlukan usaha berterusan untuk melonjakkan kekuatan kita sebagai negara besar,” katanya.– BERNAMA