Kuala Lumpur: Kerja penggantian dan pembaikan lif di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, dekat sini, akan dilakukan secara berperingkat, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, fasa pertama meliputi penggantian 18 unit lif, manakala fasa kedua sebanyak 20 unit.
“Wujud sedikit kelewatan kerja berbanding jadual asal dan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dijangka memulakan pemeriksaan bagi lif baharu setelah pihak kontraktor membuat permohonan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Nik Nazmi berkata, masalah lif di sini sudah berlarutan sejak tahun 2021 dan pihaknya sudah berhubung dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2021 supaya tindakan segera dilakukan.
Selain itu Nik Nazmi berkata, beliau sudah melawat PA Desa Rejang pada 13 Disember lalu selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai lif rosak.
Katanya, ketika lawatannya itu juga, pihak pengurusan turut menguruskan pembaikan lif yang lain.
“Saya turun ke Blok L yang mana selain satu lif diganti baharu, manakala satu lagi lif yang sering mengalami kerosakan sudah dibaiki.
“Ketika kunjungan saya di Blok D pula satu lif sudah diganti baharu tetapi tiada lif lain yang beroperasi.
“Susulan itu, pejabat saya turun untuk membekalkan makanan kepada warga Blok D pada 25 Disember lalu,” katanya.
Nik Nazmi berkata, susulan lawatan itu, beliau mengutus surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah pada 16 Disember untuk permohonan baik pulih segera semua pemegang tangga di blok yang terbabit di PA Desa Rejang.-MyMetro Online