Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PLAIN, GEORGIA, 30 Disember- Bekas Presiden Amerika Syarikat dan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Jimmy Carter meninggal dunia pada usia 100 tahun, menurut Pusat Carter pada Ahad.

Carter, yang menjalani rawatan hospis sejak Februari 2023 di rumahnya di Plains, Georgia, meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi keluarganya, menurut kenyataan Pusat Carter.

“Beliau adalah wira, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada semua yang mempercayai keamanan, hak asasi manusia, dan kasih sayang tanpa syarat,” kata anaknya, Chip Carter.

Carter merupakan Presiden AS paling panjang usia iaitu sesuatu yang kelihatan mustahil pada 2015 apabila beliau mendedahkan dirinya menghidap kanser otak.

Sepanjang penggalnya sebagai presiden dari 1977 hingga 1981, Carter dikenali dengan penekanan terhadap hak asasi manusia dan keadilan sosial.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam rundingan damai antara Israel dan Mesir menerusi Perjanjian Camp David.

Bagaimanapun, pentadbiran beliau menghadapi cabaran besar seperti krisis tebusan Iran dan kegagalan menyelamatkan 52 rakyat Amerika pada 1980.

Kekalahannya kepada Ronald Reagan dalam Pilihan Raya Presiden 1980 menyebabkan beliau hanya berkhidmat satu penggal.

Selepas meninggalkan jawatan, Carter membina legasi melalui aktiviti kemanusiaan dan diplomasi antarabangsa.

Beliau menubuhkan Pusat Carter pada 1982 dan dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada 2002.

Carter turut memantau pilihan raya di seluruh dunia dan berkhidmat sebagai perantara dalam konflik antarabangsa seperti di Korea Utara dan Bosnia.

Sebagai seorang penganut Kristian yang taat, beliau mengajar kelas agama di Gereja Maranatha Baptist di Plains sehingga usia 90-an.

Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi memuji Carter sebagai simbol usaha kemanusiaan kerana peranannya dalam Perjanjian Camp David 1978.

Presiden Joe Biden dan bekas pemimpin AS seperti Bill Clinton, George W. Bush, dan Barack Obama memberikan penghormatan terhadap sumbangan Carter dalam mempromosikan keadilan dan keamanan.

Donald Trump juga menyampaikan penghormatan sambil menyatakan bahawa walaupun berbeza pandangan politik, Carter patut dihargai atas jasanya.

Carter meninggalkan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. Isterinya, Rosalynn Carter, meninggal dunia pada 19 November 2023 pada usia 96 tahun.-AFP.-Berita RTM