Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 30 Disember– Sejumlah 75 kes pelanggaran peraturan bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 telah direkodkan.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, ia membabitkan 74 kes kegagalan menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga.

Kesemua pelanggaran itu melibatkan jumlah kompaun bernilai RM8,600, namun tiada kes penjualan melebihi harga maksimum dikesan sepanjang tempoh skim dijalankan.

“Tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama lima hari dan berkuat kuasa dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

“Sebanyak sembilan jenis barangan yang dikawal harganya di Semenanjung Malaysia dan tambahan empat barangan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta tambahan lima barangan di Sarawak.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan barang yang dikawal adalah sebanyak 14 jenis barangan berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2024,” kata kenyataan itu.

Skim yang berkuat kuasa dari 23 hingga 27 Disember ini bertujuan melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika, dengan KPDN menjalankan 2,748 pemeriksaan ke atas premis runcit, borong dan pengeluar di seluruh negara.

“KPDN juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya, pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024,” jelas kenyataan itu.-Berita RTM