Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam susulan video tular sekumpulan individu berzikir dalam keadaan pelik di tanah perkuburan di Setapak, semalam.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua pihak dipohon untuk menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa agama Islam.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua pihak dipohon untuk menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa agama Islam.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum mengenai video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan pihak tertentu yang berhimpun di salah sebuah pusara dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membuat siasatan terperinci susulan kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu seperti berzikir dalam keadaan pelik di sebuah tanah perkuburan.
Polis juga mengesahkan sudah menerima satu laporan berhubung video tular berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, laporan dibuat 10.05 pagi semalam oleh orang awam.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada Jawi bagi membantu siasatan.
“Semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian itu,” katanya.-MyMetro Online