Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan dalam usaha menggalakkan kerjasama antara China dan negara rantau ASEAN ketika Malaysia bersiap sedia untuk menyandang jawatan pengerusi kepada rangka kerja serantau itu 1 Januari depan.

Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual bersama China Central Television (CCTV) di Beijing, dengan beliau menegaskan akan mengutamakan kerjasama yang berkesan bagi mengukuhkan perpaduan di rantau ini.

“Sudah tentu antara fokus kita untuk ASEAN termasuk kestabilan politik, kerjasama berkesan antara negara serta menangani isu yang agak tidak menentu atau dipertikaikan,” katanya dipetik dalam Buletin Utama TV3.

Beliau juga berkata Malaysia akan meletakkan keterangkuman dan kemampanan di barisan hadapan kepada kepengerusian ASEAN.

Pada Oktober lalu, dilaporkan pemimpin China dan negara-negara ASEAN mengumumkan penyelesaian penting bagi rundingan naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) China-ASEAN Versi 3.0 pada Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-27.

Anwar berkata, inisiatif ini dijangka membuka jalan bagi salah satu kawasan perdagangan bebas yang paling padat penduduk dan kukuh di dunia untuk memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan pembangunan serantau di tengah-tengah meningkatnya perlindungan global. 

Beliau berkata, Malaysia sudah mempercepatkan usaha untuk mempromosikan pemeteraian protokol versi 3.0 yang dipertingkatkan serta kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN.

“Kami kini telah mempercepatkan proses itu. Mesyuarat antara pegawai-pegawai sedang berlangsung. 

“Kami sangat yakin dapat memantapkan pemahaman itu tahun depan,” katanya. 

Tambah Anwar, selain ASEAN, Malaysia juga penyelaras negara antara ASEAN dan China. 

“Oleh itu, kami akan melakukan apa yang diperlukan, bukan sahaja untuk memudahkan tetapi juga mempercepatkan proses ini. Saya sangat optimis,” katanya dipetik melalui wawancara di Beijing itu.-BH Online