Pekan: Pantai Kampung Tanjung Batu di sini, bakal menjadi destinasi pelancongan terkenal menerusi aktiviti pantai apabila projek pengawalan hakisan pantai siap sepenuhnya pada Mac 2026.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, projek pemulihan pesisir pantai sepanjang 4.3 kilometer (km) dan mendalamkan muara Sungai Tering juga dijadualkan siap lebih awal daripada jadual asal.
Menurutnya, projek dengan kos RM58 juta itu mampu menjadi nadi kepada penduduk setempat dengan aktiviti perniagaan selain kemudahan kepada nelayan untuk turun ke laut tanpa mengira waktu.
“Projek berkenaan amat penting, kerajaan meluluskan projek ini selepas mengambil kira kejadian hakisan pantai yang begitu serius hingga menyebabkan kemusnahan banyak harta benda.
“Hakisan pantai yang berlaku turut menimbulkan masalah kepada nelayan pantai untuk turun ke laut ketika air laut surut,” katanya selepas mendengar taklimat projek berkenaan di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Fadzillah Salleh dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.
Beliau berkata, kejadian hakisan pantai di Tanjung Batu sebelum ini tidak terlalu ketara, namun semakin serius sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, sekiranya tidak ada usaha mengawalnya menyebabkan lebih banyak kerosakan akan berlaku.
‘Kawasan pantai Kampung Tanjung Batu suatu ketika dahulu menjadi tempat saya dan rakan sekampung mandi laut, kini telah banyak berubah berikutan hakisan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Batu Mudzafar Abu Samah berkata, masalah hakisan pantai berlaku sejak lebih enam tahun lalu, namun semakin memburuk pada 2020.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ada rumah penduduk yang jaraknya hanya tinggal sekitar 20 hingga 40 meter dari pantai.
“Hakisan pantai mendatangkan kesukaran kepada hampir 30 nelayan untuk keluar masuk ke jeti kerana air semakin cetek dan berlaku perubahan pada muara.
“Ada masanya nelayan boleh keluar pada waktu pagi, namun perlu menolak bot semasa pulang dan kita berharap masalah ini boleh diselesaikan kerana ia menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya.-MyMetro Online