Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA, 22 Disember – Program larian budaya akan diadakan dengan skala besar di Melaka sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025). 

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi program tersebut peserta akan memakai pakaian tradisi masing-masing sambil mempromosi aktiviti gaya hidup sihat. 

“Sempena dengan hari Hari Pelancongan Sedunia 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 di Melaka kita akan buat lebih besar dan menarik dan akan melibatkan lebih ramai peserta dari luar negara yang hadir berpakaian tradisi negara masing-masing di tengah tengah kota raya Melaka,” kata Rauf.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Larian Budaya Antarabangsa Duyong Kita di Stadium Tun Fatimah, di Bukit Serindit. 

Menerusi program larian itu , Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong turut menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sempena penyertaan paling ramai iaitu 7,475 peserta.

Dalam pada itu, lebih 17,000 orang memeriahkan Larian Budaya Antarabangsa Duyong Kita dan turut dimeriahkan dengan penglibatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka serta kehadiran peserta dari Indonesia.  

ADUN Duyong, Datuk Noor Helmy Abdul Halim berkata, menerusi larian itu juga, (DUN Duyong, terima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) atas penyertaan yang paling ramai dan mendapat sambutan itu.

“Pastinya jadi satu kebanggaan buat warga Duyong sebab saya rasa ini lah japerun pertama yang ada Malaysia Book Of Records sendiri dan asalnya ia dilaksana oleh kepimpinan penduduk setempat dan didukung oleh kepimpinan kerajaan negeri dan agensi agensi yang ada. Kita baru dapat suntikan kewangan daripada kerajaan negeri dan YAB Ketua Menteri sendiri pun menyampaikan bantuan kewangan untuk membeli hadiah cabutan bertuah,” kata Noor Helmy.

Katanya, hasil daripada sambutan yang menggalakkan, beliau dan pasukannya akan menambah idea baru dan lebih segar untuk acara sama pada tahun hadapan.-Berita RTM