Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LANGAT: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diperkenalkan kerajaan pada 2012 untuk meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga anak Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 bermula sesi 2025/2026.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bantuan RM150 itu akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dengan kerajaan menanggung implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.

Katanya, agihan bantuan itu kepada pelajar Tingkatan Enam sedia ada akan dilaksanakan pada Februari 2025, manakala pelajar baharu pula akan menerimanya pada Julai tahun hadapan.

Beliau berkata, perluasan BAP kepada pelajar Tingkatan Enam adalah cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan keperluan persekolahan anak-anak.

“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam. Ia adalah satu langkah ke hadapan untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan Enam,” katanya.

Mengumumkan demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 dan perasmian naik taraf dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tumbuk, dekat sini hari ini, Fadhlina berkata, KPM sentiasa beriltizam untuk meningkatkan akses pendidikan di setiap peringkat melibatkan semua jenis sekolah bawah kelolaannya.

“Ini termasuk dengan meluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan Tingkatan Enam,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025, mengumumkan BAP diteruskan dengan hampir RM800 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Bantuan berkenaan adalah satu daripada 17 bantuan pendidikan yang terus disediakan kerajaan bagi sektor pendidikan dengan peruntukan keseluruhan RM5.3 bilion.

Bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM702,012,750 khusus untuk BAP sebanyak RM150 kepada setiap pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima secara sekali bayar, yang memberi manfaat kepada 4,680,085 pelajar di seluruh negara.

Murid yang layak menerima bantuan itu mesti warganegara Malaysia yang berada di Tahun Satu hingga Tingkatan Lima atau setaraf dengannya yang bersekolah di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, sekolah agama swasta berdaftar dengan KPM tidak termasuk sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat.

Selain itu, mereka yang bersekolah di Kolej PERMATA, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Integriti, Sekolah Henry Gurney, Maktab Rendah Sains MARA dan Maktab Tentera Diraja (MTD) dengan kaedah penyaluran kepada pihak sekolah yang kemudian membuat agihan secara kredit ke dalam akaun murid atau secara tunai.

Pada majlis sama, Fadhlina turut menyampaikan peranti tablet kepada murid sumbangan Yayasan Didik Negara (YDN) dan penghargaan kepada individu yang banyak menyumbang kepada kemajuan sekolah berkenaan.-BH Online