Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa. 

Perdana Menteri berkata, ia adalah kerana tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa.

“Anda perlu tahu, pada waktu itu, proses pendakwaan dijalankan dengan tergesa-gesa, didorong oleh kebencian, permusuhan, dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa. 

“Jadi, banyak kes pendakwaan yang tidak sempurna,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebebasan badan kehakiman susulan pembebasan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Dua hari lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN. 

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan. 

Rosmah masih menghadapi satu lagi kes di peringkat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah solar hibrid bernilai RM1.25 bilion. 

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kritikan terhadap kerajaan berhubung keputusan mahkamah itu sebagai hipokrit. 

“Adakah anda mahu saya campur tangan dalam proses kehakiman? Inilah kebebasan badan kehakiman. 

“Apabila hakim membuat keputusan yang berbeza, anda menyalahkan pihak lain atau tidak bersetuju dengan keputusan itu. Peguam Negara tidak bersetuju, sebab itu keputusan kes Datin Seri Rosmah sedang dirayu. 

“Datin Seri Rosmah, dengan segala hormat, sudah pun disabitkan (dalam kes lain). Biarkan proses undang-undang berjalan,” katanya. 

Perdana Menteri turut menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam badan kehakiman. 

“Selama dua tahun saya memegang jawatan, saya tidak pernah campur tangan dalam sebarang kes. Adakah perkara itu berlaku sebelum ini?,” katanya. -BH Online