Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) mengambil tindakan segera terhadap Israel atas kekejamannya membabitkan isu Palestin. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang mewakili Malaysia Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) , berkata kumpulan itu perlu bergerak sebagai satu kumpulan dengan tidak membiarkan seluruh rakyat Palestin menderita.

“Janganlah dikatakan bahawa kita membenarkan kemunafikan untuk menentukan punca keadilan. D-8 mesti mengatasi kemunafikan ini.

“Kita mesti menjadi suara orang yang tidak bersuara. Kita mesti berdiri dengan satu suara, dan satu tindakan,” katanya satu kenyataan, hari ini.

Sidang Kemuncak ke-11 yang berlangsung di Kaherah, Mesir pada kelmarin hingga hari ini melabuhkan tirainya dengan mengeluarkan Deklarasi Kaherah.

Sidang itu dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan terdiri daripada Mesir, Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

Zambry memaklumkan seruan Malaysia mengenai isu Palestin itu dikemukakan dalam satu Kenyataan Negara di sidang khas dianjurkan Kerajaan Mesir khusus bagi membincangkan situasi semasa di Palestin dan Lubnan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata terdapat dwi-standard yang mengawal setiap tindak tanduk masyarakat antarabangsa.

“Seluruh dunia menyaksikan dan mengutuk Israel atas kekejamannya, tetapi tidak seorang pun, bukan satu entiti pun dapat menghalangnya. 

“Semuanya kerana Israel disokong oleh kuasa barat, kuasa yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, tetapi hanya apabila ia sejajar dengan kepentingan mereka, acuh tak acuh kepada rakyat Palestin kehilangan nyawa dalam proses itu,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan ketua negara dan kerajaan D-8 mencapai kata sepakat untuk menyokong Deklarasi Kaherah sebagai bukti komitmen untuk memperkasakan belia sebagai pemimpin masa hadapan dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Kita berhadapan dengan belia zaman kecerdasan buatan (AI), berinovasi dan teknologi terkini, maka pendidikan yang seimbang mesti menyepadukan kecanggihan ini dengan nilai moral dan etika. 

“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita kerana masyarakat yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut,” katanya-BH Online