Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JASIN: Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak bercadang memperkenalkan model elaun kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijadual bermula 12 Januari depan.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan kecuali menanggung kos perjalanan peserta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai program berkenaan.

“Setakat ini, kita tidak bercadang untuk memperkenalkan model elaun, kita lebih banyak memperkenalkan model untuk menanggung semua keperluan peserta.

“Buat masa ni (elaun) kita tak ada putuskan lagi, yang diputuskan adalah untuk beri mereka tanggungan perjalanan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah selepas menyampaikan bantuan zakat Pertubuhan Akademi Al Bayan di Bukit Senggeh, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Keselamatan dilaporkan membentangkan laporan berkaitan PLKN 3.0, termasuk mengesyorkan kadar elaun peserta program itu dinaikkan RM50 sehari.

Jawatankuasa itu dilaporkan menganggap kadar elaun RM8 sehari sebagai tidak mencukupi dan terlalu rendah.

Menurut laporan itu, jawatankuasa berkenaan mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar elaun berikutan peningkatan kos sara hidup dan sebagai insentif bagi peserta untuk menyertai program berkenaan.

PLKN 3.0 dijadualkan dilaksana secara berperingkat bermula 12 Januari ini membabitkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang, sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

Seramai 200 pelatih lelaki lepasan SPM akan menyertai program itu selama 45 hari sebagai latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.

Latihan akan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan PLKN 3.0 antaranya di Kuala Lumpur dan Pahang yang akan digunakan bagi menempatkan peserta terpilih menjelang 2026.-BH Online