Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUCHONG: Lapan sekolah di seluruh Semenanjung terpilih untuk pembinaan dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) termasuk bagi menempatkan mangsa banjir. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan PPKB itu adalah projek Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Terdapat lapan sekolah yang terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, Batu Pahat, Johor; SK Gua Tinggi, Pasir Mas, Kelantan; SK Banggol Peradong, Kuala Terengganu, Terengganu; SK Benta, Kuala Lipis, Pahang; SK Perwira, Teluk Intan, Perak; SK Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang; SK Sungai Kelamah, Tampin, Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMk) Jerai, Kupang, Kedah. 

“Daripada lapan lokasi berkenaan dua daripadanya dalam pembinaan iaitu di SK Seri Medan dan SK Gual Tinggi, manakala enam lagi lokasi dalam perancangan” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau projek pembinaan tapak simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Markas SMART, Pulau Meranti, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Pengarah JKR Selangor, Shukri Ishak dan Komander SMART Penguasa Kanan Bomba, Mohd Khairul Jamil. 

Sementara itu, Mohd Khairul berkata, pihaknya akan memohon kepada kerajaan untuk pembinaan kolam air untuk simulasi penyelamatan di air di Markas SMART. 

“Permohonan ini bagi membolehkan 150 anggota SMART memperkukuhkan kemahiran dalam penyelamatan di air terutama ketika berdepan bencana banjir.

“Sekiranya pembinaan kolam itu diluluskan, ia diharap dapat dibina mengikut standard (simulasi) di peringkat antarabangsa,” katanya.-BH Online