KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk terus memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri dan teknologi yang terus berkembang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, TVET bukan saja membuka peluang kerjaya, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
“Ia juga berperanan besar dalam merealisasikan hasrat negara menuju status negara berpendapatan tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Konvokesyen Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) kali ke-4 di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menghargai usaha Kolej KETENGAH yang terus komited dalam menawarkan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) serta TVET kepada pelajarnya.
Dalam menghadapi cabaran global dan perkembangan teknologi, beliau percaya Kolej KETENGAH sudah merangka hala tuju yang jelas ke arah kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan negara.
“Saya berharap mutu pengajaran dan pembelajaran terus kekal tinggi, malah ditingkatkan seiring dengan keperluan semasa.
“Pada masa sama, saya menyeru kurikulum yang diguna pakai sentiasa disemak dan ditambah baik, supaya selari dengan keperluan industri dan ekonomi,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara turut menyampaikan skrol kepada 265 graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di kolej berkenaan.
Ketika ini, terdapat 1,345 institusi TVET di seluruh negara yang beroperasi dengan lancar di bawah pengendalian serta kawal selia oleh 12 kementerian dan agensi kerajaan.
Media sebelum ini turut melaporkan, dari aspek kebolehpasaran graduan TVET negara, pada tahun lalu, ia sudah menunjukkan peningkatan iaitu 94.5 peratus berbanding 93.3 peratus pada 2022.-BH Online