Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka bercadang menambah hingga 300 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, perancangan itu akan menjadi nilai tambah terbaik dalam usaha menarik lebih ramai pelabur bagi melonjakkan perkembangan industri pemasangan dan pengeluaran EV serta kenderaan cekap tenaga (EEV) di negeri ini.

“Sekarang ini kita ada 132 stesen pengecasan EV di seluruh Melaka dan kita akan cuba menambahnya di kawasan strategik terutama di pusat tumpuan pelancongan dan untuk itu kita menggalakkan pihak swasta turut bekerjasama dalam perancangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penghantaran Kereta ke-1,000 oleh Kumpulan EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh, di sini, pada Jumaat, yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan EPMB, Hamidon Abdullah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, perkembangan EV dan EEV di negeri ini juga akan memainkan peranan penting dalam Pelan Pembangunan Hijau Melaka yang menekankan perkembangan teknologi rendah karbon.

“Ini juga merupakan komitmen kerajaan negeri dalam menggalakkan penggunaan EEV sama ada melalui insentif kepada pengguna mahupun sokongan terhadap industri automotif hijau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan industri pemasangan kereta di Melaka yang terus melonjak dan diperkukuhkan dengan kedudukan strategik antara Kuala Lumpur, Johor, dan Singapura, telah menjadikan negeri ini sebagai hab pemasangan serta pengeluaran EV dan EEV.

Ab Rauf berkata, ia dapat dilihat menerusi keyakinan Honda Malaysia yang mempunyai satu-satunya kilang pemasangan kereta di Melaka dan diikuti Kumpulan EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang mempunyai reputasi tinggi sebagai syarikat pembekal dan pemasangan komponen modular, keselamatan dan kritikal kepada jenama utama seperti Toyota, Proton, Perodua dan Mazda.

“Langkah berani yang diambil oleh EPMB dalam mempelbagaikan pelaburannya ke sektor pembuatan EV sejak 2022 juga dilihat sangat tepat dan selaras dengan trend terkini ke arah kenderaan lebih mesra alam. Pencapaian ini sudah tentu memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Melaka,” katanya.

Beliau berkata, usaha memajukan industri hiliran automotif juga satu potensi besar dalam jangka masa panjang termasuk menyediakan peluang kepada penduduk tempatan khususnya generasi muda di Melaka untuk berkecimpung dalam industri automotif berasaskan EV dan EEV. – BERNAMA