SELAYANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 3.0 pada tahun depan.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Perumahan Negara, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan pihak berkepentingan lain berkenaan pelaksanaan HOC 3.0 itu.
“Kita akan mencari tarikh yang mempunyai ‘feng shui’ yang sangat baik. (Apa pun) saya perlu fikir dulu.Kita akan mengadakan Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN pada Julai depan. Saya yakin, kempen HOC akan dibuat sama ada bersempena sidang kemuncak inj ataupun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan pusat beli belah 168 Park Mall dan meninjau kemajuan projek 168 Park Selayang sempena Program Sentuhan Kejayaan KPKT di sini, hari ini.
Projek itu pada asalnya dibangunkan oleh Sierra Delima Development Sdn Bhd yang membabitkan pembangunan empat blok kediaman namun telah tertangguh akibat masalah kewangan syarikat.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, beliau difahamkan bahawa sebanyak 678 unit pembeli terjejas dan terkesan apabila projek ini yang dulu dikenali sebagai Selayang Star City berstatus sakit dan tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan iaitu Mac 2019.
Katanya, pada 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk memberikan kebenaran dan melantik syarikat induk 168 Park Selayang Sdn Bhd, iaitu Infra Segi Sdn Bhd, sebagai pengurus memulihkan projek ini.
“Keputusan Mahkamah Tinggi ini telah berjaya menyelamatkan projek ini. Kini, projek Selayang Star City telah berjaya dibangunkan semula sebagai pembangunan moden yang dikenali sebagai 168 Park.
null
“Setiap unit yang dulunya terjejas telah siap di bawah pemajuan Blok C dan diserahkan bermula 30 Ogos 2024. Usaha ini membuktikan komitmen tegar pihak pemaju untuk menghidupkan semula kawasan ini,” katanya.
Kor Ming berkata, Taskforce Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai berjaya memulihkan 862 projek atau 102,808 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM85.82 bilion dalam tempoh dua tahun.
Katanya, salah satu langkah penting yang akan diambil oleh KPKT adalah untuk melaksanakan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi menguatkuasakan langkah yang lebih tegas terhadap pemaju yang terbabit dalam projek sakit dan terbengkalai.
“Rang Undang-Undang (Pindaan) dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan. KPKT terlibat secara aktif dengan pihak berkepentingan untuk memastikan pindaan ini memberikan hasil yang adil kepada semua pihak, termasuk pembeli hartanah.
“Kami akan memastikan semua suara didengari, termasuk REHDA dan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, selain menjalankan kajian yang diperlukan untuk memastikan cadangan pindaan pada 2025 adalah berkesan.
“Melalui pindaan ini, kita mampu menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat untuk menegakkan tadbir urus yang baik. Sebagai contoh, pemaju yang didapati bersalah melakukan penipuan akan berhadapan dengan hukuman yang serius, termasuk dihalang dari meninggalkan negara.
“Mereka juga mungkin menghadapi prosiding mahkamah dan hukuman seperti penjara sehingga tiga tahun, denda berjumlah RM250,000 hingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya.-BH Online