Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Wisma Putra menegaskan sebarang tuntutan negara luar termasuk Filipina ke atas mana-mana bahagian dalam Malaysia yang merdeka dan berdaulat, tidak mempunyai apa-apa asas berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan susulan termasuk juga bantahan rasmi dilakukan Malaysia terhadap Filipina menerusi dua akta maritim negara berkenaan.

Beliau menegaskan ini kerana Filipina menerusi Akta Zon Maritim dan Akta Laluan Laut Kepulauan menyentuh hal ehwal kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

“Isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Oleh yang demikian, isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh.

“Di dalam konteks pengendalian isu ini, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama di dalam setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan. 

“Pendirian Malaysia ke atas kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan di kawasan maritim Malaysia tetap utuh dan akan sentiasa dipertahankan selaras prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Antarabangsa KUUL 1982 (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut). 

“Konvensyen Undang-Undang Laut Malaysia membantah sebarang elemen pencerobohan dalam kedua-dua iaitu Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan ke atas zon maritim dan fitur maritim yang melibatkan kawasan maritim Malaysia berdasarkan kepada Peta Baru Malaysia 1979,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) yang meminta penjelasan Kementerian Luar berhubung tindakan kerajaan untuk mempertikai dan menidakkan langkah kerajaan Filipina terkini, meluluskan dua undang-undang maritim yang menuntut dan menganggap sebahagian besar kawasan perairan serta pelantar benua Sabah sebagai wilayahnya.

Berhubung tindakan diambil kerajaan dalam menangani isu berbangkit berkaitan kedaulatan negara, Mohamad berkata ia perlu berdasarkan pertimbangan komprehensif dan teliti berlandaskan undang-undang antarabangsa termasuk KUUL 1982.

“Kerajaan tidak akan sesekali pada bila-bila masa memprejudiskan kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan negara,” katanya.-BH Online