KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan dua rang undang-undang (RUU) bagi menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah, termasuk dalam talian.
Ia membabitkan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2024, masing-masing seliaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika menggulung perbahasan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024, berkata ia diperlukan bagi mendepani cabaran masa depan tanpa mengabaikan keperluan ketika ini.
Pindaan itu, katanya bertujuan memberi perlindungan menyeluruh termasuk terhadap isu buli yang semakin kompleks terutama ketika era digital, selain menegaskan ia bukanlah berniat untuk menyekat hak kebebasan bersuara.
Beliau berkata, pindaan itu antara lain akan berfungsi sebagai mekanisme pencegahan serta melindungi masyarakat, terutama golongan kanak-kanak.
“Kita mahukan landskap dalam negara berbeza apabila bercakap mengenai budaya buli, sama ada secara fizikal atau dalam talian yang juga dikenali buli siber. Malah, ramai pakar perundangan menyatakan negara tidak memiliki undang-undang untuk berdepan isu buli dan buli siber.
“Seksyen 503 Kanun Keseksaan, Seksyen 504, Seksyen 505, Seksyen 506, Seksyen 507, Seksyen 508 dan Seksyen 509 kanun sama, premisnya adalah berlainan dan tidak boleh mengambil kira apa yang berlaku dalam era digital.
“Cabaran buli siber misalnya, pembuktian penting tidak dapat dibuat. Esok (selepas RUU dikuatkuasakan), keselamatan dalam talian dengan penyedia perkhidmatan atau platform akan diberi tanggungjawab menentukan perkara terbabit boleh dihentikan apabila laporan diberikan kepada mereka,” katanya.
Azalina berkata, keperluan pindaan itu dibuat selepas mempertimbangkan tahap keseriusan budaya membuli, terutama dalam kalangan generasi muda melalui sistem digital kerana identiti mereka tidak diketahui umum.
Malah, katanya, realiti buli ketika ini lebih kompleks dan memerlukan perlindungan lebih holistik daripada tingkah laku di dalam dan luar talian, dalam memberikan keadilan kepada mangsa, selain gejala terbabit merentasi batas umur.
“Mereka (pelaku) boleh bersembunyi dalam sistem, bukan sahaja 365 hari tetapi (boleh membuli) selama 24 jam tanpa henti.
“Malah, di Australia beberapa minggu lalu, menghalang kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah mendekati media sosial sebab sistem sedia ada dilihat tidak dapat memantau buli siber yang mendorong sikap membunuh diri.
“Apa-apa pun, pendidikan selepas undang-undang ini lebih penting dan saya lebih khuatir pada generasi muda yang menganggap buli sebagai jenaka. Saya harap kementerian relevan dan ibu bapa untuk memainkan peranan masing-masing bagi menangani isu ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran ketika menggulung RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2024, turut mengetengahkan maklum balas hampir sama.
Beliau juga menjelaskan, apabila individu disiasat atas kesalahan jenayah buli siber secara lazimnya, telefon suspek akan disita untuk siasatan lanjut, selain bakal digunakan sebagai bahan bukti, sekiranya dituduh di mahkamah kelak.-BH Online