Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi kod QR di 40 kemudahan tambahan sistem pagar automatik (autogate) di pintu masuk utama negara yang pertama dilaksanakan akan membolehkan urusan imigresen selesai dalam masa kurang lima saat. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata semua 40 kemudahan tambahan itu akan disediakan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perolehannya dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu lagi, sekali gus ia dapat mengatasi masalah kesesakan orang ramai.

“Penambahan sistem pagar automatik itu dilengkapi teknologi kod QR yang membolehkan urusan imigresen selesai dalam tempoh lima saat. 

“Sebelum ini pengguna memerlukan masa antara 10 hingga 15 saat untuk melepasi pemeriksaan ‘autogate’ tetapi dengan menggunakan kod QR, kita boleh melepasi pintu itu kurang daripada lima saat. Ini satu penambahbaikan yang sedang dilaksanakan Jabatan Imigresen dan setakat ini status penambahan 40 autogate pada peringkat perolehan dan selesai dalam dua tiga minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi kunjungan korporat Jabatan Imigresen melawat Media Prima Berhad (Media Prima) di Anjung Liku, Balai Berita Bangsar di sini, hari ini. 

Zakaria disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Kumpulan, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin dan Pengarang Berita Kanan BH, Sariha Mohd Ali.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, penambahan 40 pagar automatik di Terminal 1 dan 2 di KLIA dibuat bagi mengatasi masalah kesesakan di pintu masuk utama negara. 

Beliau berkata, langkah diambil itu sebagai persiapan awal Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Setakat ini, kedua-dua lapangan terbang utama negara mempunyai 40 sistem ‘autogate’ yang sedang beroperasi, namun mengambil kira situasi dan keperluan semasa di pintu masuk udara itu, kerajaan mengadakan rundingan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk penambahan 40 lagi autogate yang dilengkapi teknologi kod QR.

Sementara itu, mengulas isu pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berakhir 31 Disember ini, Zakaria berkata, hampir 80 peratus daripada mereka sudah selesai dihantar pulang dengan 202,245 orang mendaftar secara sukarela dalam program ini.

“Kami sedang berusaha menyelesaikan baki kes sebelum tempoh program ini berakhir dan sekiranya masih ada yang tinggal secara haram, kita akan ambil tindakan perundangan,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai keberkesanan operasi di premis seperti pusat perjudian dan hiburan yang sering kembali beroperasi walaupun selepas diserbu dan menjelaskan penguatkuasaan lesen serta operasi premis bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.

“Kami bertindak atas kesalahan berkaitan imigresen saja seperti salah guna pas atau individu tiada dokumen sah. 

“Bagi pengoperasian premis, ia tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain,” katanya.-BH Online