Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Masalah banjir dihadapi kira-kira 20,000 penduduk di tiga daerah di Sabah dapat dikurangkan dengan siapnya projek tebatan banjir dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di daerah terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tiga projek membabitkan kawasan seluas 1,403 hektar itu dilaksanakan di daerah Tawau, Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Katanya, tiga projek itu adalah antara enam projek Persekutuan bernilai RM65.5 juta di bawah PETRA di Sabah yang sudah siap dan diserahkan kepada kerajaan negeri hari ini.

Katanya, projek membabitkan Rancangan Tebatan Banjir Fasa 1A Sungai Tawau di Lembangan Sungai Tawau di Tawau; Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kadamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang, Kota Belud serta Rancangan Tebatan Banjir Bandar Sierra, Lembangan Sungai Telipok, Kota Kinabalu.

“Dengan pelaksanaan dan penyiapan tiga projek tebatan banjir ini, seluas 1,403 hektar kawasan banjir dapat dikurangkan dan 20,000 penduduk mendapat manfaat serta dilindungi daripada risiko banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Siap PETRA kepada Kerajaan Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, tiga projek lain yang diserahkan hari ini ialah Projek Pemuliharaan Muara, Projek Mencegah Hakisan Pantai dan Projek Menaik Taraf Rumah Pam.

Bagi Projek Pemuliharaan Sungai, katanya, projek siap yang diserahkan hari ini ialah Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu.

“Projek Pemuliharaan Hakisan Pantai membabitkan Kerja Mencegah Hakisan Pantai di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau, manakala Projek Menaik Taraf Rumah Pam pula dilaksanakan Likas Lagoon, Likas, Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu berjaya mencegah daripada risiko bencana runtuhan tebing sungai.

Projek itu, katanya, dapat memberi perlindungan kepada harta benda awam termasuk balai raya, kawasan perkuburan dan kira-kira 300 kediaman penduduk.

“Projek Mencegah Hakisan Pantai di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik memberi perlindungan kepada hampir 1,000 penduduk dan kemudahan awam seperti klinik kesihatan, balai polis dan jeti daripada hakisan akibat pukulan ombak. 

“Projek yang direka bentuk secara ‘in house design’ oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini dijangka membantu menjana industri pelancongan untuk berkembang dan seterusnya membantu meningkatkan sumber ekonomi penduduk.

“Projek Menaik Taraf Rumah Pam Likas dapat mengurangkan impak banjir di kawasan sekitar melalui peningkatan kecekapan kawalan banjir dengan tahap kesiapsiagaan operasi selama 24 jam dan tujuh hari seminggu,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), PETRA meluluskan 82 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion di Sabah.

Bagi Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12 pada tahun ini, katanya, sebanyak RM674.4 juta disalurkan di Sabah, manakala RM116.77 juta diperuntukkan kepada JPS Sabah untuk pelaksanaan 27 projek dalam Rolling Plan Kelima (RP5).-BH Online