KUALA PILAH, 7 Disember — Sebanyak 91,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara dikenal pasti untuk dibangunkan semula dengan tanaman sawah padi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, langkah itu sebagai usaha memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.
Katanya, kerajaan akan menyediakan infrastruktur penting, termasuk sistem pengairan yang baik, untuk menjayakan projek tersebut.
Kawasan tumpuan melibatkan tanah sawah terbiar di luar jelapang padi seperti di Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
“Jika sistem pengairan mencukupi, kita boleh mencapai potensi lima kali dua musim penanaman setahun. Dengan ini, separuh daripada kawasan sawah padi di Malaysia mampu memenuhi keperluan bekalan beras negara, inshaAllah,” katanya ketika melawat Tapak Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang, Kuala Pilah di sini hari ini.
Projek Tanaman Terachi di Kuala Pilah merupakan kawasan sawah padi Luar Jelapang dengan keluasan 1,828 hektar.
Dalam pada itu, beliau menerusi hantaran Facebook berkata, pesawah di Kawasan Luar Jelapang seperti di Terachi memerlukan sokongan infrastruktur yang lebih baik, terutama dari segi pengairan.
“Pendekatan yang lebih proaktif perlu diambil untuk menjadikan tanah-tanah terbiar sebagai kawasan pertanian produktif, selaras dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara
“Usaha ini merupakan komitmen berterusan pihak Kerajaan dalam membantu para pesawah kita,” katanya.
Katanya, inisiatif sebanyak RM1.455 juta juga telah diberikan kepada Sawah Padi Negeri Sembilan bagi mengoptimumkan Penggunaan Tanah Terbiar dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang merancang penubuhan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Selatan, merangkumi Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka, bagi membantu pengusaha dan meningkatkan hasil pengeluaran.
Inisiatif ini dijangka menjadi langkah strategik untuk mengoptimumkan tanah terbiar dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.-Berita RTM