Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendapati tindakan diambil Peguam Cara Negara yang memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.

Laporan Suruhanjaya itu menyatakan, keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah berdasarkan surat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.

Laporan itu berkata, keterangan yang didapati Suruhanjaya juga menunjukkan keputusan itu disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018, sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bermula pada jam 9.30 pagi.

“Surat Peguam Cara Negara tidak menyatakan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan adalah keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana yang dinyatakan Tun Dr Mahathir.

“Adalah juga diperhatikan bahawa Tun Dr Mahathir tidak mempertikaikan dan/atau menafikan mahu pun membetulkan kandungan surat Peguam Cara Negara itu bagi memperjelas bahawa surat beliau bertarikh 21 Mei 2018 hanyalah satu pendapat semata-mata dan bukanlah suatu keputusan atau arahan. 

“Dengan alasan-alasan itu, Suruhanjaya tidak dapat menerima dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa surat bertarikh 21 Mei 2018 supaya Malaysia tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah suatu pendapat beliau semata-mata. Sebaliknya, surat tersebut adalah suatu keputusan,” katanya.

Suruhanjaya menyatakan, pada 23 Mei 2018, Dr Mahathir membawa isu untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu di Mesyuarat Jemaah Menteri di bawah tajuk ‘Hal-Hal Lain’.

Berdasarkan minit mesyuarat berkenaan, Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai pandangan dan alasan Dr Mahathir untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan, iaitu Perjanjian Khas di mana Malaysia dan Singapura bersetuju membawa kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ke ICJ menyatakan kedua-dua pihak akan akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh ICJ dan bersetuju supaya tiada rayuan dikemukakan.

Selain itu, tiga fakta (dokumen baharu) yang menjadi asas untuk digunakan bagi mendapatkan kembali hak Malaysia ke atas Batu Puteh adalah sangat lemah untuk meyakinkan ICJ dalam mempertimbang semula keputusannya.

“Jemaah Menteri kemudian memutuskan supaya Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran Keputusan Sovereignty Over Pedra Branca/Pulau Batu Puteh, Middle Rocks/Batuan Tengah and South Ledge/Tubir Selatan (Malaysia/Singapura) oleh Malaysia di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa tidak diteruskan,” katanya.

Selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya pada 12 Jun lalu, Dr Mahathir menafikan membuat keputusan sendirian dalam kes membabitkan tuntutan Pulau Batu Puteh sehingga Malaysia kehilangannya.

Beliau berkata, keputusan itu, sebaliknya diputuskan Jemaah Menteri pada 2018, dengan pihaknya hanya memberi pandangan supaya tuntutan itu tidak diteruskan.

Katanya, ini kerana pakar undang-undang dan peguam ketika itu yang berpendapat ia adalah suatu kes yang lemah untuk Malaysia.

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, Perdana Menteri (pada 2018) yang membuat keputusan sembunyi-sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ketika menjawat Perdana Menteri pada 2022, mengakui kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir sehingga Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008.

Pada 2008, ICJ memutuskan memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.-MyMetro Online