KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan berusaha sehabis mungkin bagi memastikan kes buli dan budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dihentikan serta-merta, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu budaya penderaan di UPNM dihentikan serta-merta, sekali gus meminta semua pihak berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
Mohamed Khaled berkata, titah baginda adalah jelas dan pihaknya akur dengan perkara itu.
“MINDEF sudah membentangkan segala penambahbaikan di Parlimen, malah telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM yang terbabit dalam kes-kes berlaku sebelum ini.
“Kita juga akan mengatasinya mengikut mekanisme yang difikirkan terbaik sekiranya kes-kes seperti ini berulang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, hukuman terhadap Pegawai Kadet ALK yang dikenakan sebelum ini juga adalah satu bentuk pencegahan supaya kes buli dan penderaan tidak berulang.
“Tindakan hukuman yang diberikan terhadap Pegawai Kadet itu juga adalah satu mesej jelas sekiranya kejadian buli dan penderaan berulang,” katanya.
Semalam, Sultan Ibrahim dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, turut tidak mahu nama baginda dikaitkan dengan UPNM sekiranya kejadian buli terus berlaku.
“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini (UPNM) untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Angkatan Tentera (MAT) bersetuju menamatkan pengajian lima pegawai kadet dari UPNM yang terbabit dalam tiga kes buli di universiti berkenaan.
Pegawai kadet terbabit juga diwajibkan membayar pampasan kepada kerajaan berdasarkan jumlah perbelanjaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka.
MAT mencapai keputusan itu selepas menerima cadangan daripada ALK, termasuk cadangan pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet (PK), pemberhentian kerja daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mengenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian mereka.-BH Online