KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak mengambil serius saranan beliau untuk mengurangkan pengambilan gula, memandangkan negara berhadapan isu penghidap diabetes yang sangat tinggi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga antara negara yang memiliki rakyat menghidap diabetes pada jumlah yang amat tinggi.
“Di peringkat negeri dulu Kelantan, kemudian Kedah sebelum Negeri Sembilan pula ambil alih (kes tertinggi)… janganlah kita berlumba-lumba untuk penyakit ini, langkah ini (kurangkan gula) cara munasabah nak elak keterlanjuran kita dan saya harap benda ini dianggap serius.
“… bukan hanya (tindakan kerajaan) melalui langkah menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai Januari depan sebanyak 40 sen seliter,” katanya sewaktu membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Negara hari ini.
Justeru, Anwar mencadangkan supaya premis makanan di dalam bangunan Parlimen menurunkan sehingga 50 peratus kandungan gula dalam minuman dihidangkan.
“Saya cadangkan kantin di Parlimen ini kita ikut seperti apa dah dilakukan Jabatan Perdana Menteri iaitu turunkan 50 peratus kandungan gula… ini wajar kerana ahli-ahli yang berhormat harus menjadi contoh baik,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Dewan Rakyat melancarkan inisiatif Hari Tanpa Gula pada setiap Rabu bermula pertengahan Oktober lalu, melibatkan kakitangan Parlimen serta merangkumi semua Ahli Parlimen bertujuan menyemai budaya gaya hidup sihat.-BH Online