KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menegaskan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa
dijadikan teras utama dalam setiap tindakan diambil kerajaan berhubung isu membabitkan pertindihan zon maritim di laut China Selatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada isu di Laut China Selatan, dengan pendirian Malaysia berhubung isu di perairan itu adalah jelas dan konsisten.
Beliau berkata, semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuklah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama di dalam setiap tindakan yang diambil.
“Sepertimana sedia maklum, isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Oleh yang demikian, isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh.
“Setiap tindakan diambil kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengenepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-PEKAN) mengenai status terkini pertikaian wilayah maritim negara terutamanya di zon maritim bertindih yang melibatkan negara seperti Brunei, China, Vietnam, Indonesia dan Filipina, selain apa inisiatif kerajaan dalam memperteguh diplomasi dengan negara terbabit sebagai usaha mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman maritim.
Mohamad berkata, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh tiga tahun dari Ogos tahun ini hingga Julai 2027, Malaysia kekal komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif,
dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.
“Kementerian Luar akan terus menyuarakan pendirian tegas Malaysia berhubung isu Laut China Selatan di platform berkaitan bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” katanya.
Mengenai soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berhubung isu kehadoran kapal asing di periaran Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Mohamad berkata kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
Kebocoran dokumen diplomatik
“Tindakan-tindakan diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran atau ‘show of presence’ di kawasan tersebut.
“Semua agensi penguat kuasa dan pemantauan maritim di negara amat komited memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia kekal terpelihara,” katanya.
Mengenai soalan berkaitan siasatan berhubung dakwaan kebocoran dokumen diplomatik Malaysia-China oleh sebuah portal media Filipina bertarikh 29 Ogos lalu, Mohamad berkata Kementerian Luar memandang serius isu kebocoran dokumen yang merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua negara kepada pihak umum.
“Dalam konteks ini, Kementerian Luar serta Perwakilan Malaysia di Luar Negeri sentiasa mengendalikan dokumen-dokumen terperingkat secara teliti mengikut tatacara yang telah ditetapkan.
“Pihak berkuasa Malaysia sedang menjalankan siasatan terperinci dan telus berhubung perkara ini,” katanya.-BH Online