Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai hab strategik di Asia Tenggara, dapat memainkan peranan penting dalam menghubungkan rantau ASEAN dengan pasaran global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, antara peranan utama boleh dimainkan Malaysia ialah memudahkan aktiviti perdagangan dan pelaburan, dengan mengambil kira Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) blok ekonomi rantau ini melebihi AS$3.6 trilion.

Beliau berkata, ASEAN yang mempunyai populasi lebih 680 juta orang, menawarkan peluang besar kepada perniagaan yang ingin berkembang ke rantau ini. 

“Bagi perusahaan China yang ingin menembusi rantau dinamik ini, Malaysia menawarkan diri untuk menjadi pintu gerbang yang ideal dengan lokasi strategik, infrastruktur yang kukuh dan tenaga kerja yang mahir.

“Melalui rangka kerja seperti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Malaysia dan China memupuk kerjasama lebih mendalam dalam pembangunan infrastruktur, perdagangan serta pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dan Persidangan Presiden Persatuan Dunia Kali Kelima (5TH WAPC) di Wisma MCA, di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan; serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan buku meja kopi berjudul ‘Blossoming and Fruiting’ sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

Mengulas lanjut mengenai BRI, Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu membolehkan Malaysia memposisikan negara sebagai pemudah cara utama dalam kesalinghubungan di ASEAN, khususnya dalam sektor yang sedang berkembang seperti tenaga hijau, ekonomi digital dan pembangunan mampan.

“Visi bersama kita untuk masa depan termasuklah memanfaatkan kawasan berpotensi tinggi ini untuk mewujudkan peluang pekerjaan, memacu inovasi dan meningkatkan kesalinghubungan serantau seiring dengan usaha kita untuk terus mengukuhkan peranan kita sebagai hab ASEAN,” katanya.

Mengenai sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China pula, Ahmad Zahid berkata, kerajaan bersedia untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan republik itu dan masyarakat global, untuk menggarap aktiviti inovasi, memacu pertumbuhan mampan serta menangani cabaran mendatang.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk bekerjasama dalam mewujudkan masa depan yang makmur, inklusif dan mampan.-BH Online